Cahaya mentari kekuningan di ufuk langit menyimbah bangunan pencakar langit yang tersergam indah di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur. Azan Subuh berkumandang memberi kesegaran kepada seluruh warga kota. Rasa bangga menusuk ke kalbuku kerana tergolong dalam komuniti Persatuan Penduduk Seksyen 6 Wangsa Maju yang berbilang bangsa dan saling faham memahami antara satu sama lain. Boleh dikatakan, pegangan agama yang kukuh antara kami membolehkan sikap toleransi dan integriti terpupuk sehingga mewujudkan suasana komuniti yang harmoni. Sambil mendengar lagu Satu Malaysia yang patriotik di bawah naungan pohon melaka, aku, Richard, Masrurah, Balakrishnan dan Changyi Fong berbincang mengenai proses orientasi agama yang menjadi teras kemajuan masyarakat moden berbilang bangsa bertemakan Satu Malaysia berintegriti."Adalah suatu kemestian masyarakat harus bersikap jujur dalam tindakan dan percakapan. Kalau tidak, siakap senohong gelama ikan duri,bercakap bohong lama-lama mencuri," kataku sebagai pembuka wadah perbincangan. Masyarakat yang hidup dalam rumpun Satu Malaysia seharusnya mengetengahkan nilai ini bagi menjamin integrasi kaum yang syumul, bukan retorik semata-mata. Dalam Islam nabi Muhammad s.a.w. menyuruh manusia supaya berkata benar walaupun pahit (Hadis riwayat Ibnu Abi Ad-Dunya). Kejujuran dalam menyatakan perselisihan yag berlaku antara masyarakat membolehkan meja rundingan dibuka dan pertikaian yang berlaku dapat diselesaikan secara aman. Kita tidak mahu peristiwa berdarah seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969 berulang lagi. Atas inisiatif kerajaan, Pelan Integriti Nasional digubal dengan objektif umumnya adalah untuk membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan diitunjangi oleh budi pekerti yang luhur. Aku menyimpulkan pendapatku dengan berkata, "Oleh itu, sikap jujur amat dituntut dalam masyarakat moden berbilang bangsa supaya keharmonian hidup bermasyarakat dapat dikecap bersama dan bertepatan dengan prinsip Satu Malaysia.""Setiap kesilapan yang berlaku dalam masyarakat memerlukan pembaikan. Bak kata pepatah,sudah terhantuk baru terngadah," kata Richard sebagai penerus bicara. Pembaikan daripada kesilapan yang dilakukan sangat dituntut dalam mana-mana agama. "Kerajaan juga tidak culas dalam menangani masalah yang berlaku dalam lingkungan rakyat," sambungnya lagi. Contohnya, Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan menyumbang secara langsung terhadap peningkatan ekonomi negara. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat(KPWKM) pula telah memperluaskanperkhidmatan Talian NUR 15999 bagi menerima aduan mengenai penderaan, keganasan, skim bantuan kebajikan dan lain-lain Oleh yang demikian, jelaslah bahawa memperbaiki kesilapan merupakan sebahagian daripada nilai agama yang menjadi teras kemajuan masyarakat masyarakat moden berbilang bangsa.Tiba giliran Masrurah untuk berbicara, "Untuk menjadi masyarakat moden yang maju, kita perlu menepati janji dan masa. Nenek moyang kita dahulu pernah berkata, 'adat diisi, janji dilabuh'." Menepati janji dan masa adalah sebahagian daripada nilai integriti yang patut dipupuk dalam sanubari rakyat Satu Malaysia. Tanpanya kepercayaan dan kesetiaan rakyat terhadap negara akan terhakis. Menepati janji dan masa juga sangat dituntut dalam agama Islam seperti yang termaktub dalam Al-Quran iaitu ayat satu hingga tiga surah Al-‘Asr dan ayat 34 surah Al-Isra'. "Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) memanifestasikan konsep Satu Malaysia. Kesannya amat bermanfaat kepada rakyat jelata," ujarnya. NKRA yang diperkenalkan oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak menerapkan etika menepati janji dan masa kepada para penjawat awam bagi mencerminkan imej yang baik kepada rakyat semasa membuat urusan dengan kerajaan. Oleh sebab itu, etika menepati janji dan masa sangat diperlukan dalam pembentukan masyarakat moden berbilang bangsa yang maju."Sebagai rakyat yang mempunyai nilai-nilai agama, saya sepatutnya menerima teguran orang ramai dengan senang hati, tanpa marah-marah," kata Balakrishnan. Menerima teuran yang membina adalah antara nilai integriti yang kita tidak boleh alpa dengannya. Balakrishnan memberikan contoh, "Seorang Hindu yang menerima teguran akan mengamalkan etika Panca Nyama Bhrata iaitu Akroda (tidak marah), Guru Surusa (hormat dan bakti kepada 'guru' (orang yang menegur)), Sauca (hidup suci, bersih dan murni), Aharalaghawa (makan makanan serba ringan) dan Apramada (tidak mengabaikan kewajipan)." Berdasarkan prinsip 'Rakyat didahulukan,pencapaian didahulukan', kerajaan bersikap terbuka dalam menerima cadangan mahupun teguran melalui laman sosial 'Facebook 1 Malaysia'. Justeru, bersikap terbuka dalam menerima teguran dan menghormati orang yang menegur merangsang kemajuan masyarakat moden berbilang bangsa berteraskan nilai keagamaan.Setelah mendengar penjelasan yang panjang lebar daripada teman-temannya, Changyi Fong bersuara, "Kita harus ketepikan perihal sendiri kalau kita diam bersama. Kita kan hidup berjiran, mestilah kena saling tolong-menolong bagai aur dengan tebing. Buat apa duduk di bawah tempurung laksana katak. Kalau begitu, tiada guna nilai-nilai keagamaan yang kita belajar selama ini." Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi kepentingan lain. Semua agama amat menitikberatkan nilai mementingkan kebajikan orang lain. Changyi Fong memberikan misal, "Menurut Jalan Mulia Lapan Lapis yang ketiga dalam agama Buddha iaitu Tindak Tanduk yang Benar, seseorang patut mencuba sedaya upaya tidak mementingkan diri, memikirkan kebajikan orang lain serta tindakan yang akan mendatangkan kebaikan kepda diri dan orang lain." Penubuhan persatuan-persatuan penduduk seperti Pusat Komuniti dan Rukun Tetangga dapat menyatukan masyarakat dan memastikan kebajikan mereka terbela. Oleh sebab itu, kenapa kita berpersatuan kerana tidak mementingkan diri antara teras kemajuan masyarakat moden berbilang bangsa.Dengan ini, kami merumuskan bahawa nilai-nilai keagamaan akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan integrasi kaum yang pelbagai fahaman sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Kriuk! Perut kami berkeroncong. Peleraian sidang perbincangan berakhir dengan kami berpeluk-pelukan antara satu sama lain - sesama jantina. Persahabatan kami utuh ibarat gabungan molekul yang tidak akan terpisah melainkan atas kehendak Yang Maha Mencipta. Rasa terharu menyeliputi kalbuku kerana Yang Maha Pengasih masih memberiku nikmat kedamaian ketika besembahyang jemaah dikala Sang Suria gelincir. Semoga prinsip Satu Malaysia dapat merintis lembaran kemajuan negara sehingga terealisasi Wawasan 2020. Satu Malaysia berintegriti.
Karya penulis blog ini dihasilkan semasa menyertai Pertandingan Menulis Esei Integriti Peringkat Sekolah Menengah 2011 Anjuran Institut Integriti Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Correct me if I am wrong. Politely please.