Kami Berkenalan Hanya dalam Laman Mukabuku...Dating!

Kita berkenalan hanya dalam laman muka buku. [Najwa Latif - Cinta Muka Buku]

Ini bukanlah cerita bertemu jodoh di laman Mukabuku (Facebook) bahagian page atau group mencari jodoh; bukan juga dengan cara skodeng profil orang lain. Inilah cerita aku bertemu cinta sejati di Facebook Dating! Sebuah feature seperti Marketplace, Gaming, dan Memories yang memfokuskan kepada perjalinan hubungan cinta antara rakan kepada rakan dalam laman sosial Facebook.

Segalanya bermula pada 2019M, bilamana rakan2 sekerja makan bersama di sebuah stor yang kami ubahsuai menjadi tempat makan dan sembahyang. Sambil makan, mereka scroll2 calon pasangan pilihan di handphone masing2 lalu menunjukkan kepadaku. Waktu itu, Tinder muncul sebagai wadah pencari jodoh terkemuka yang hadir dalam bentuk aplikasi; menjadi alternatif kepada laman cari jodoh seperti Baituljannah, Baitulmuslim dan MyJodoh. Salah seorang daripada mereka berjaya menemui teman hidup di Tinder, dan kini telah pun memiliki cahaya mata.

Menjengah Ramadan 1440H, Mark Zuckerberg melancarkan feature Dating. Mengagumi tanpa dicintai (macam lagu Ungu pulak); begitulah perasaan yang aku alami beberapa pekan terakhir. Mungkin kerana terlihat persis profesor, tiada sesiapa yang peduli akan kecomelanku. Tanpa berlengah, aku segera membuat profil baharu dengan mengharapkan mustajab doa pada bulan puasa agar hajat untuk memiliki dan dimiliki tercapai.


Walaupun di dalam aplikasi, pengguna harus membuat profil baru yang berasingan daripada profil utama. Beberapa maklumat peribadi perlu diisi semula seperti tempat tinggal, pendidikan, pekerjaan, dsb. Hanya first name daripada profil utama sahaja yang tertera sebagai nama profil dating ini.

Aku tidak melayan sangat ajakan rakan pada waktu itu untuk membuka apa2 akaun mencari jodoh disebabkan malas hendak mengingat password dan akaun yang banyak. Di sinilah datangnya kelebihan Dating yang membuatkan aku tertarik untuk membukanya:
  • Tidak perlu mengingat katakunci sebab ianya sebahagian daripada Facebook.
  • Tiada pantang larang seperti sekatan bersembang, kandungan berbayar, dsb.
  • Profil yang dicipta khusus untuk Dating ini memberi privasi kepada profil utama. Namun jika pandai menggodek di carian Facebook, kita boleh mangagak si dia itu bagaimana orangnya. Ini kerana 2-3 maklumat yang terdapat pada profil Dating mesti padan dengan profil utama.
  • Berkekalan untuk ditatap selagi Meta mengekalkannya. Jika tidak mahu delete profil andai sudah berpunya nanti, ia mempunyai ciri 'break' yang membolehkan kita tidak lagi dalam carian orang.
Kalau aku like, aku like. Kalau tak, aku swipe [Alyph - Swipe], begitulah cara scroll calon di Facebook Dating. Setelah menekan butang 'suka', boleh chat dengan calon. Jadi, setelah aku chat dengan beberapa orang yang membalas butang 'suka', aku tertarik dengan satu orang wanita. Berbeza daripada calon yang lain yang sepatah ditanya, sepatah dijawab, wanita ini, kalau aku diam, dia pula yang mengaju. Jadi, perbualan itu nampak hidup. Dilihat pada profilnya, latar belakang tidak jauh berbeza daripada aku. Dia ialah seorang graduan perubatan yang sedang menunggu penempatan housemanship di fasililiti kesihatan kerajaan.

Dan pabila kau kata kau mahu jumpa aku, Ku gelisah berdebar hati rasa tak menentu. Oh benarkah rasa itu? Aku memutuskan untuk menjengah empunya badan selepas 2 minggu chatting bagi memastikan yang aku chat itu genuine. Bertepatan dengan bulan Syawal 1440H, aku pergi 'beraya' ke rumahnya di Rawang, Selangor dengan membawa seorang adik. "Kamu sudah sedia nak berkawan dengan anak pak cik?" tanya ayahnya, seorang yang berpengaruh dan disegani di kawasan tersebut. Memakai persalinan baju kurung yang serupa seperti dalam profil Facebook yang aku lihat, wanita itu nampak gugup semasa menjamah laksa kepadaku. Adik-beradiknya semua adalah gamers. Ketika bersurai, aku dan adik bergambar bersama wanita dan ayahnya. Begitulah sesi ta'aruf kami. 

Kau hantar pesan dan suruh aku terima kamu. Bukan sahaja profil utama Facebook sahaja kami add friend, malah di Twitter, Instagram, Telegram serta WhatsApp dek kami saling bertukar nombor telefon. Chit-chat diteruskan dengan beberapa pertemuan diadakan di rumah dan tempat rekreasi beramai2.

Banyak soalan banyak juga jawapannya. Kata hati dan rasa tak dibiar saja. Setiap yang berlaku ada kebaikannya. Harus pejam mata dan cuba apa saja. Hampir semua ciri wanita idamanku ada padanya. Walaubagaimanapun, aku masih bermain tarik-tali samada mahukan dia atau tidak menyebabkan wanita itu memutuskan untuk menjalani housemanship di sebuah hospital di Perak. Pelbagai perkara aku pertimbangkan selepas beberapa waktu berjalan sebelum aku memutuskan dia menjadi pasangan sehidup-semati. Wanita itu pada mulanya tidak mahu sangat sebab this is too soon hinggakan ibubapanya terpaksa memujuk kerana mereka begitu berkenan dengan latar belakang keluargaku. Dia pun seperti aku, masih menimbang calon lain, malah pernah ada yang mendatangi keluarganya sebelum aku.

Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan orang-orang yang layak (berkahwin) daripada hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. [Surah An Nur; 24:32]. Maha benar firman Tuhan. Bertindak nekad untuk mendirikan rumah tangga melebatkan punca rezekiku. Gajiku dinaikkan selain dinamakan sebagai shareholder ekoran majikan ingin mencari partner bisnes dalam kalangan bumiputera.

Persiapan dimulakan. Bermula daripada merisik, keluarganya memutuskan untuk tidak menetapkan nilai hantaran, kerana itulah adat orang Jawa. Namun, pihak keluargaku pula yang menetapkan nilai sebanyak RM12000. Sebentuk cincin ibuku berikan tanpa ku kenalpasti dahulu saiz jari manis si dia lebar mana. Hanya semasa majlis bertunang pada 30 November 2019M, barulah ibuku mengambil ukuran jarinya. Bagi memastikan darah manis tidak lama sangat, tarikh bersanding dipersetujui untuk diadakan bersekali dengan majlis bertandang iparku, iaitu pada 8 Mac 2020M bersamaan 13 Rejab 1441H secara rewang di rumahnya. Manakala majlis bertandang ditetapkan 14 hari kemudian menggunakan khidmat caterer. Hantaran ditetapkan 7 berbalas 6, dengan masing2 beli barang untuk sendiri, lalu swap sebelum majlis; berbeza dengan adat kebiasaan membeli barang hantaran milik pasangan. Dah kita yang nak pakai. Karang tersalah beli, merajuk pulak!

Kursus pra-perkahwinan telah aku ambil secara kendiri lama dahulu sebelum perkenalan di universiti tempat menuntut. Berbeza dengan mengambil kursus di luar, memandangkan peserta adalah daripada jurusan agama, tiada recall pengetahuan asas agama dilakukan. Panel yang dijemput lebih banyak mengisi masa slot yang diperuntukkan kepada mereka selama 2 hari dengan bercerita mengenai kes2 perundangan yang mereka hadap selain memberi tips kemesraan di atas katil. Bagi mendaftar perkahwinan, aku menggunakan Sistem Pengurusan Perkahwinan Malaysia (SPPIM) manakala si dia menggunakan Permohonan Kebenaran Berkahwin Online kendalian Jabatan Agama Islam Selangor memandangkan sistem SPPIM tidak cover negeri Selangor pada waktu itu. Aku hanya mengambil cuti untuk urusan ujian HIV di klinik kesihatan yang paling dekat lalu mendapatkan cop Imam di masjid kariahku.

Bapaku telah menempah urusan katering di sebuah syarikat perancang perkahwinan berpejabat di Kuala Lumpur. Beberapa perjumpaan diadakan bagi menentuukur baju pengantin, menyuaipadan pakej lauk pauk, tempahan dewan serta penambahan tatarias yang menelan belanja RM17500, dijelaskan sebulan sebelum majlis berlangsung. Sepanjang tempoh bertunang, bakal mertuaku yang banyak menguruskan perihal birokrasi perkahwinan bagi pihak perempuan memandangkan si dia agak sukar untuk berulang-alik dari Perak. 

Tahun 2020M menyaksikan wabak Coronavirus Disease 2019 (Covid-19) memasuki negara. Gabungan parti pemerintah yang dipilih secara demokratik pada Pilihan Raya Umum 2018 tumbang akibat perpecahan dalaman lalu gabungan baharu dibentuk dengan cara shuffle sesama ahli parlimen bagi membentuk kerajaan baharu tanpa perlu pilihanraya kerana memiliki majoriti tipis. Satu persatu premis dan majlis menjadi punca wabak merebak menimbulkan keresahan kepada keluarga kami yang sedang melakukan persiapan. Kad jemputan telah diedar kepada sanak-saudara di ceruk kampung. Jemputan elektronik juga telah aku kirim di media sosial bagi mengkhabarkan yang 'professor' ini telah bertemu jodoh.

Hari bersanding yang ditunggu telah tiba. Dengan sekali lafaz, akad nikah termeterai pada pukul 1100j di rumah mertua. Turut disaksikan oleh saudara-mara sebelah ayah, aku sarungkan gelang perkahwinan yang berharga RM2400. Ku kucup dahi isteri lalu ku bacakan doa. Menyalami ibu mertua menandakan orang tuaku kini sudah berbesan buat kali pertama. Majlis perkahwinan berganda diadakan pada sebelah petang. Dengan kehadiran tetamu yang bertalu2 seumpama mengadakan 2 majlis (memang 2 pun), mostly kenalan mertua, lauk-pauk dan kerepek2 balang habis dalam tempoh yang singkat, walau ditopup. Aku dan isteri dalam persalinan pink serta ipar dan pasangannya dalam persalinan biru diarak ke  pelamin dan disajikan dengan persembahan seni silat. Photoshoot ditangkap di taman permainan perumahan sesudah majlis. Terasa betapa eratnya dia memegang lenganku; mengheretku ke sana ke mari menunjuki hadirin bahawa aku kini miliknya tanpa menghiraukan lumpur jalan tar yang melekat di gaun. Rupa2nya, detik inilah baru hatinya terbuka untuk menerimaku. Jurugambar menyiapkan album dan video dalam masa 2 minggu.


Pabila kau renung tajam-tajam mata aku, ku rasa sesuatu rasa yang ku tak tahu. Oh ini cinta remajaku. Bercinta selepas nikah memerlukan masa untuk sesuaikan diri. Itulah sebab kita harus menetapkan kriteria jodoh yang dimahukan lebih dahulu seperti saranan junjungan, iaitu kufu. Ya, aku merasa berdebar tiap kali menyentuh tangan isteri, lagi2 dalam persalinan kurung yang ku nyatakan tadi. Dia pun merasa nyaman yang mana tidak pernah dirasakan seperti ini sebelumnya. Dua sejoli yang baru mekar ini melakar masa depan tanpa menyedari dunia akan mengalami masa2 yang suram.

Desakan agar kerajaan melaksanakan lockdown kedengaran di media. Baru sahaja perancang perkahwinan kami membeli bahan2 mentah untuk dimasak sebelum majlis, Perdana Menteri yang baru sahaja naik mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) [Inggeris: Movement Control Order (MCO)] bermula 18 Mac dan berakhir kononnya pada hujung bulan. Kemudian, diextend sehingga 12 Mei ekoran pertambahan kes positif Covid-19. Pelaksanaan PKP menyebabkan hampir semua sektor pekerjaan tidak dibenarkan beroperasi. Rakyat dilarang daripada merentas daerah; hanya dibenarkan keluar rumah jika ada urusan mustahak sahaja. Pasukan keselamatan yang terdiri daripada polis, tentera, dan RELA menjaga laluan keluar-masuk sempadan daerah. Denda akan diberikan bagi sesiapa yang mengingkari arahan berdasarkan peruntukan daripada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Ini memberi tekanan kepada aku dan isteri sebagai pasangan jarak jauh (PJJ). Asalnya, kami pelan untuk saling berulang-alik Selangor-Perak setiap minggu memandangkan aku bekerja di Kuala Lumpur. Dengan perintah ini, kami hanya dapat bersua secara maya sahaja tiap2 malam sehingga hari ke-58. Memang rindulah ceritanya. Bekerja pun dari rumah kerana sektor pekerjaanku pada masa itu dikategorikan sebagai tidak kritikal untuk beroperasi di pejabat. Gajiku dipotong separuh manakala caruman persaraan tidak dibayar.

PKP bertukar nama menjadi PKPB (B = Bersyarat) pada Mei dengan lebih banyak sektor pekerjaan dibenarkan beroperasi selain boleh merentas negeri untuk keperluan mustahak dengan kebenaran polis, termasuk alasan pasangan tinggal di negeri lain. Mengambil kesempatan daripada loophole yang ada, dengan petrol berada pada paras terendah dalam sejarah milenium (RON95 pada harga RM1.25/liter), kami berdua dapat merentas negeri kapan waktu, bahkan dapat beraya bersama di kampung nenek kami pada Syawal 1441H. Merasa jadi khatib ketika menunaikan solat hari raya puasa bersama keluarga. Teks khutbah dikirim dalam format pdf oleh jabatan agama Islam negeri berikutan larangan untuk berhimpun di rumah ibadat dikuatkuasakan. Mujur nenekku dan neneknya tinggal di negeri sama, cuma berbeza daerah. Hanya tunjukkan dokumen perjalanan yang telah disahkan di balai dan menjawab soalan pasukan keselamatan tiap kali melintasi sekatan jalan raya di sempadanan, "Nak pergi mana?" 

Sesetengah negeri bertukar status menjadi PKPP (P = Pemulihan), manakala daerah2 yang mencatat rekod jangkitan wabak yang tinggi ditukar semula menjadi PKP. PKPP menyaksikan sekatan jalan raya antara daerah ditiadakan. Ada sahaja peluang untukku pulang ke Perak, tidak akan aku lepaskan. Aku tinggal di kampung nenek aku di Manjung, bantu menjaga datuk yang sudah mula jatuh sakit. Dalam pada itu, dapatlah isteriku berulang-alik dari tempat kerja hampir setiap hari sambil menabur bakti kepada suami buat kali terawal. Mengambil peluang daripada pembukaan semula sektor pelancongan, kami berpeluang untuk merencana bulan madu. Isteriku teringin hendak pergi ke Cameron Highlands, Pahang. Aku sedaya upaya cuba untuk dapat melancong keluar daripada Semenanjung kendati negara2 seluruh dunia menguatkuasakan lockdown. Akhirnya Pulau Tioman, Pahang menjadi destinasi pilihan. Di sana, pelancong lebih banyak memuji keindahan laut Pulau Redang, Terengganu. Walaubagaimanapun, Tioman tetap memberi kenangan yang indah buat kami. Katakan sahaja...snorkeling, jungle trekking, island hopping, hampir keseluruhan pulau kami jejak. Hanya saja diving tidak kami lakukan kerana memakan hari.  😊


Keluargaku kembali mengadakan perbincangan dengan perancang perkahwinan mengenai majlis bertandang berikutan kelonggaran mengadakan majlis bawah peraturan PKPB. Tarikh baharu telah dipersetujui, namun terpaksa ditunda berkali2 berikutan beberapa kekangan:
  • Pada tarikh yang dimahukan, pemilik dewan guna untuk tujuan lain.
  • Pada tarikh lain yang dimahukan, kerajaan mengumumkan lockdown lagi yang lebih ketat.
  • Pertikaian mengenai harga pakej yang tidak boleh dikaji semula berikutan pelaksanaan majlis tidak boleh dilakukan semeriah sebelum penguatkuasaan PKP, menyebabkan pihak pelanggan (keluargaku) bertindak menunggu dengan harapan undang2 PKP mengenai penganjuran majlis dapat dilonggarkan lagi.
November 2020M menyaksikan pejabat di Kuala Lumpur tidak mampu lagi untuk beroperasi. Syarikat kembali beribupejabat di tempat asal, Johor manakala aku diberhentikan kerana tidak sanggup berjauhan dengan isteri. Aku yang ketika itu work from home di Perak mengambil keputusan untuk mencari rezeki di sana agar lebih dekat dengan isteri. Dengan panduan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), aku dapat ganti rugi daripada kehilangan pekerjaan selain ditawarkan rangkaian cari kerja. Di pekan tempat kerja isteri, aku menemukan sebuah perusahaan bakeri yang memerlukan tenaga kerja di bahagian pembungkusan. Belum cukup sebulan, aku ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat persijilan. Pada masa itu, banyak institusi pendidikan menawarkan program latihan di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dikawalselia oleh PERKESO. Daripada beberapa kursus yang ditawarkan, aku memilih bidang elektrik. Namun, baru sahaja ingin mendaftarkan diri, kerajaan mengetatkan PKP sektor pendidikan yang tidak membenarkan pelajar menghadiri kelas berikutan kes positif Covid-19 naik di sekolah2. Ekoran malu dengan tindakan lebih dahulu meletak jawatan di perusahaan bakeri, aku cuba untuk menjadi freelancer dan belajar bermain saham. Namun, menyedari aku hadir ke bidang ini pada masa yang salah, selain merasakan terbeban dengan komitmen, aku berkelana ke kampung nenekku, bekerja dalam bidang automotif selain membantu semampu yang boleh menjaga datuk. Cukup sebulan aku menceburkan diri dalam bidang baharu ini, kolej telah memberi tarikh baharu untuk melaporkan diri.

Terjejaknya kaki ke kolej dengan harapan selepas satu bulan latihan bersijil, akan ditempatkan di mana2 lokasi dengan jaminan pekerjaan selama 12 bulan. Begitulah yang diberitakan. Namun sebaik tiba, kami diarahkan untuk bekerja di kilang sementara menunggu tarikh kursus yang sebenar tiba. Rupanya, tidak semua kursus dijalankan serentak. Perkara ini sepatutnya dimaklumkan terlebih dahulu. Tindakan pengurusan kolej yang kucar-kacir membuatkan penuntut marah. Kursus yang dijalankan pula tidak sama seperti yang diiklankan. Maka, ramai antara kami meminta untuk dipulangkan deposit. Tindakan kerajaan yang mengetatkan PKP sesudah ini memburukkan keadaan. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk membiarkan pengajian ini dalam keadaan tergantung sehingga satu keputusan dicapai antara pihak pengurusan dengan pelajar yang tinggal lalu kembali mencari rezeki di Lembah Kelang. Sedarlah aku kenapa orang kampung merantau jauh ke KL untuk cari makan. Andai ada job teknikal dengan gaji pokok setaraf degree di Perak, mohon tinggalkan di komen.

Lahir sebagai seorang kosmopolitanis, menjadi impian agar dapat berdiam di bandar paling bahagia di Malaysia.
Scroll2 di Facebook Jobs, akhirnya aku diterima bekerja di sebuah syarikat yang mengendalikan kerja2 pemasangan kamera litar tertutup (CCTV). Berbasis di Damansara, Selangor, aku dikerah untuk memaintain aset2 electrical low voltage di hospital serta meninjau tapak2 projek pemasangan CCTV. Dengan gaji yang cukup makan, banyak teladan yang aku dapat. Selain sudah berani mentroubleshoot barang, aku turut mempelajari cara bermain politik korporat. Buat masa ini, aku tinggal di rumah ibubapa di Kuala Lumpur; kembali berPJJ. Dengan kebenaran merentas negeri istimewa untuk suami isteri, aku dan isteri bertemu tiap minggu samada di rumah ibubapa di Lembah Kelang, atau di rumah nenda di Perak. Perkara ini berlanjutan setahun lamanya hinggalah isteriku dapat transfer ke Selangor usai habis tempoh housemanship. Pada waktu ini, barulah kami membeli sebuah rumah yang terletak tidak jauh dari rumah mertua. Ibu mertuaku banyak membantu dalam urusan pembelian rumah ini. Menariknya, kesemua ipar duaiku turut tinggal berhampiran. Kami hidup secara muafakat. Walaupun agak jauh untuk berulang-alik dari KL, kalian boleh menikmati panorama alam menghijau di banyak kemudahan rekreasi yang dibangunkan oleh kerajaan dan swasta di sini ketika hujung minggu.

Ogos 2021M, buat yang meniaga sendiri masih terjejas teruk. Bapaku menghubungi perancang perkahwinan untuk berbincang, namun tidak berjawab. Merasakan yang barangkali mereka lari, aku failkan tuntutan ganti rugi di Tribunal Tuntutan Pengguna. Hasil risikan, keluargaku berjaya menemui rumah tempat mereka berlindung di kosmopolitan ini setelah mendapati pejabat mereka tidak lagi beroperasi. Notis tuntutan kami hantar ke pintu rumah. Lama setelah itu, notis balas kami terima lalu perbicaraan pun bermula.

Mahkamah tribunal cawangan WPKL. Yang tiada kena mengena boleh hadir mengambil ibrah daripada kes2 yang dibicarakan.

Perbicaraan menemui jalan berliku apabila presiden (hakim) menangguhkan sidang berkali2 ekoran kekurangan dokumen sokongan serta pihak penentang (perancang perkahwinan) sesekali tidak hadir. Pihak penuntut (kami) memenangi award, namun penentang pula memfailkan borang rayuan. Akhirnya, kata sepakat telah dicapai pada perbicaraan terakhir. Pihak penentang bersetuju untuk memulangkan RM14000 sahaja kepada kami secara ansuran sebanyak RM2000/bulan. Tarikh akhir bagi bayaran ini adalah pada 31 Januari 2024. Di luar kamar, perancang perkahwinan memberi penjelasan berhubung keengganannya mengangkat panggilan telefon. Dia masih berharap agar kami teruskan sahaja majlis. Namun, melihatkan tindakan tempoh hari ditambah pula dengan rasa ralat untuk memanggil lagi jemputan, bapaku berkeras tidak mahu berurusan dengan orang ini lagi.

Dapat berkhidmat dengan kerajaan merupakan dambaan masyarakat Melayu sejak zaman feudal. Bawah pimpinan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15, isu doktor kontrak cuba diselesaikan dengan cara penyerapan sejumlah pegawai ke perjawatan tetap. Isteriku tidak melepaskan peluang dengan pergi ke temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Alhamdulillah, lebih separuh calon yang memohon berjaya termasuk isteriku! Aku turut mendapat peluang untuk bertemuduga pada waktu ini bagi jawatan pegawai penyelidik, namun rezeki tidak menyebelahiku.

Berbalik kepada isu kursus persijilan. Pengurusan ada menghubungiku bagi memaklumkan bahawa mereka boleh aturkan  kursus seperti yang mereka iklankan semasa mula2 dahulu. Berbekalkan simpanan yang ada, aku memohon cuti tanpa gaji daripada majikan demi menggapai 'sijil2 tambahan' buat mengukuh profil kerjaya bak kata pakar nowadays. Melihatkan kesungguhan aku dalam menuntut ilmu, majikan kerap menghantarku mengikuti latihan itu ini. Moga dengan menambah soft-skill mampu menaikkan valueku dalam pasaran kerja.


Tanggal 8 Mac 2020. Kamilah pasangan yang paling awal mengikat ke jenjang pelamin melalui Facebook Dating. Sanggah di ruangan komen andai merasakan kalian yang lebih awal.

Perjalanan masih panjang. Ketika penulisan ini dikarang, aku dan isteri masih belum dikurniakan cahaya mata. Semua orang dapat kembali life yang direnggut 2 tahun sebelumnya biarpun PKPP masih berkuatkuasa. Buat buah hatiku, terima kasih kerana telah muncul dari wadah maya lalu sudi menjadi suri hidup pujangga yang tidak seberapa ini. Banyak jasamu serta pekerti yang harusku balas suatu windu nanti. Aku berdoa agar kami menempuh takdir yang berwarna-warni dalam keadaan yang cukup tersusun (berdasarkan doa daripada Surah al-Baqarah; 2:286). Begitu juga buat yang membaca artikel ini. Amin.

Itulah cinta yang satu...Cinta di muka buku.