Anugerah Diamond di British Invention Show (BIS) 2017

Tanpa flyers ini, pelawat harus membayar antara £5 - £15 untuk masuk.

BIS 2017 yang berlangsung pada 18-21 Oktober menampilkan 47 reka cipta daripada 9 negara dengan Malaysia mempertandingkan 16 rekaan. Tidak seperti tahun2 sebelumnya, penganjuran kali ini oleh British Invention Society lebih malap dengan hanya 1/8 daripada ruang Barbican Exhibition Hall 2 yang digunakan, mungkin kerana bertembung dengan penganjuran Research and New Technologies World Exhibition on Inventions di Brussels, Belgium pada 17-19 November.

Menyusul kemenangan pada pertandingan Novel Research & Innovation Competition (NRIC) di Universiti Sains Malaysia (USM) 2 bulan sebelumnya, universitiku, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah memberi peluang kepada kumpulanku untuk menempatkan diri dalam temasya inovasi Britain terbesar ini. Oleh kerana yuran penyertaan berjumlah ribuan pound sterling, pihak universiti hanya menanggung seorang peserta dan seorang penyelia. Agak sedikit terkilan buat kumpulan yang berjumlah 3 orang. Mana tidaknya, bersama-sama sejak menyertai Pertandingan Rekacipta & Inovasi Islam (iREKA) di USIM pada Mei lalu, tiba2 tidak dapat berjuang (baca: meraikan penat lelah) bersama-sama di negara orang. Hasilnya, penyelia mengambil inisiatif untuk menaja sebahagian kos aku di sana sebagai peserta nombor 2, manakala rakan ketiga terdapat kekangan lain yang menghalang keberangkatan.

Semua ini bermula apabila Fathi Said tertarik dengan perkongsian mengenai kemahiran Arduino di story WhatsAppku semasa menjalani latihan industri di sebuah syarikat robotik, yang kemudiannya mengajakku bertanding di iREKA. Dengan menggunakan projek tahun akhir sarjana muda Fathi iaitu Double-layered Roof Cooling System Controlled by Arduino, kami memanggil Ainul Husna bagi memperkuat pembentangan kumpulan. Manakala Dr. Azman yang mempunyai latar belakang dalam bidang mikroelektronik pula bersetuju untuk menjadi penyelia. Usaha aku mengambil cuti latihan industri di Selangor manakala mereka berdua ketika itu di Johor berbaloi apabila kami memenangi pingat emas seterusnya melayakkan kumpulan untuk ke saringan NRIC. Daripada 15 pemenang pingat emas daripada USIM, kami berjaya menempatkan diri antara 6 kumpulan yang akan dihantar mewakili universiti ke USM 3 bulan kemudian.

iREKA anjuran USIM. Kemenangan pertama kami menerusi kategori Teknologi dan Kejuruteraan. Dr. Azman (berkot) juga adalah penyelia tesis Fathi sewaktu Semester VI dan VII.

Berbekalkan pengalaman aku dan Fathi bertanding sebelum ini, kami menyasarkan projek kali ini mampu mara ke BIS. Seperti tahun2 sebelum ini, USIM hanya akan menghantar pemenang pingat emas NRIC untuk bertanding ke BIS. Alhamdulillah, jerih payah kami di Pulau Pinang menepati ramalan. Malah, kumpulanku satu2nya wakil USIM yang berjaya menggondol emas disamping membolot sebuah hadiah utama pada NRIC. Pintu untuk ke London sudah terbuka.

NRIC anjuran USM, Penang. Kami membolot emas menerusi kategori Teknologi dan Kejuruteraan manakala Ainul Husna (wanita) dinobatkan sebagai penyampai terbaik pertandingan dengan membawa pulang RM700. Bernama melaporkan kemenangan ini.
Bengkel persediaan dibuat 2 minggu sebelum keberangkatan. Seluruh isi pejabat Pusat Pengurusan Penyelidikan (PPP) USIM bertungkus-lumus membantu kami dalam menyediakan kelengkapan seperti poster, pamplet, kalendar, serta alas meja. Termasuk juga persediaan mental, beberapa pensyarah dipanggil bagi menceritakan pengalaman selain memberi pelbagai tips untuk memenangi hati juri. Sejumlah peruntukan turut diberi oleh pihak pejabat merangkumi pengangkutan, penginapan, dan makanan. Tanpa Ainul kali ini, aku dan Fathi berdua merasa janggal dengan perhatian yang diberi oleh pihak pejabat.

Sejak September, aku bekerja separuh masa di sebuah kelas robotik sementara mendapatkan pekerjaan tetap. Sebaik sahaja tiba bulan Oktober, jadual kerja telah disusun dengan kerjasama majikan bagi membolehkan aku menyertai pertandingan di London itu. Aku mula membayar tambang penerbangan dengan gaji yang baru diterima, manakala sejumlah lagi wang telah aku tukarkan kepada matawang pound sterling. Terima kasih kepada penyelia yang sanggup menampung sebahagian besar perbelanjaanku.

13 jam penerbangan. Dari udara, kelihatan bandar2 German, Iran, dan India. Ini adalah penerbangan terus berharga RM4500 untuk pergi dan balik.

15 Oktober pada 2315 Waktu Malaysia (MYT), aku, Fathi, Dr. Azman beserta isteri dan seorang anak dengan 6 bagasi berisi pakaian, projek, dan pek makanan segera terbang menggunakan pesawat Malaysia Airlines MH2 meninggalkan keluarga beserta sekumpulan pelajar junior kursus kami, Society of Applied Physics Society (SAPPHIRE) yang datang memberikan sokongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Sehari kemudian pada 0600 waktu British (BST), kami mendarat di Lapangan Terbang Heathrow London, United Kingdom. Memandangkan hari masih muda sementara pertandingan bermula lusa, kami meronda-ronda ke banyak mercu tanda London menggunakan pelbagai jaringan pengangkutan awam seperti teksi limosin, keretapi dan bas dari pagi hingga malam selama 2 hari berturut-turut. "Mind your gap between the train and the platform," ayat paling lagenda kedengaran bila menaiki keretapi bawah tanah, Underground.

Penginapan di sebuah hotel di Ferringdon. Sangat hampir dengan tempat pertandingan iaitu Barbican.

"London Bridge is falling down...falling down, falling down. Even if the sky is falling down...down, down." Tetiba tertukar ke lagu Jay Sean - Down. Haha...
London Tower, berhadapan dengan London Bridge.

Di Greenwich, bangunan ini menjadi penanda aras bagi Waktu Meridian Greenwich (GMT). Walaubagaimanapun, Britain menggunakan Waktu Musim Panas Britain (BST) ketika kami di sana.

Hari yang ditunggu pun tiba. Rupa-rupanya, ketua penganjur cuma menghendaki peserta untuk memasang booth pada hari pertama pertandingan. Menyedari London itu besarnya bak sebuah negeri walaupun digelar kota, kami berlima meneruskan ronda2 berbekalkan kad Oyster usai menghias booth. Di tapak pertandingan, hari ini dijadualkan untuk sidang media sahaja.

Projek kami mengaplikasikan air sebagai agen penyejuk bangunan. Ianya beroperasi secara automatik melalui pengesan suhu bagi memastikan air dapat dipancurkan bak hujan membasahi rumah setiap kali suhu mencapai suatu darjah kepanasan yang dikira tidak selesa untuk dihuni.

Kontinjen Malaysia, Korea Selatan, dan Arab Saudi memperagakan projek masing2 di deretan ini. Kesemua projek disusun ke dalam 2 deretan sahaja, merangkumi 1/8 keluasan dewan. Justeru, peserta Muslim menggunakan baki ruang yang ada untuk menunaikan sembahyang fardu. Sementara terdapat kafetaria mini di satu sudut yang lain.

Hari kedua dan seterusnya kami di booth sepanjang hari. Diadili oleh 3 orang hakim yang datang berasingan, kesemua peserta selesai menjalani penjurian sejak hari kedua lagi. Daripada maklum balas yang diterima, rata2 juri mengatakan tiada inovasi pada produk kami kerana sistem pengesan dan janaan tenaga daripada suria digunakan meluas di Britain, manakala mengenai musim panas Britain hanya alami selama 2 minggu.

Muzium Sherlock Holmes di Baker Street. Selain ini, banyak lagi tarikan pelancong yang dibina berdasarkan populariti watak ciptaan Arthur Conan Doyle itu di sepanjang Baker Street, menggambarkan watak itu seolah-olah wujud dan pernah menetap di situ.
Bersembahyang Jumaat di London Central Mosque. Mengambil masa 13 minit dengan berjalan kaki dari Baker Street. Waktu ni musim luruh. Maka meredahlah kami dalam keadaan bertopeng mulut sambil diperhatikan orang ramai yang melihat kami bagai pengganas. Untuk makluman, bertopeng ni amalan orang Asia.

Majlis penyampaian hadiah diadakan di One Moorgate Place. Kami berdua yang pada mulanya yakin akan pulang dengan tangan kosong tidak menyangka dikalungkan pingat tertinggi, diamond bagi anugerah International Innovation of the Year kategori Industri pada detik2 terakhir majlis. Untuk pengetahuan, terdapat 3 kategori yang dipertandingkan iaitu Leisure, Consumer, dan Industrial. 8 anugerah diperuntukkan dengan 6 pingat ditawarkan untuk setiap kategori iaitu diamond, platinum, emas berganda, perak, gangsa:
  • British Invention of the Year
  • International Invention of the Year
  • International Innovation of the Year
  • Natural Earth of the Year
  • Design of the Year
  • Young British Innovator of the Year
  • Young International Innovator of the Year

Malam kemuncak pada hari keempat pertandingan. Senarai lengkap pemenang dan perincian projek peserta boleh dilihat melalui laman sesawang BIS. 

Baki malam kemenangan kami habiskan di menara Big Ben dan London Eye.
Hari kelima pertandingan merupakan hari terakhir kami di kota London. Menjelang tengah hari kami mendaftar keluar daripada penginapan, lalu membuka pameran sehingga 1700j. Kemudian kami bergegas ke lapangan terbang untuk menaiki pesawat sama pada 2140 BST. 21 Oktober jam 1750 MYT, kami disambut oleh keluarga masing2 di Balai Ketibaan KLIA. Terlakarlah jasa terakhir kami sebagai 'penyelidik muda' yang pada kemudian harinya bakal diraikan oleh seluruh warga USIM dan kenalan yang dekat mahupun jauh berminggu lamanya.

Kredit kepada Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) USIM, berita kemenangan kami diterbitkan dalam akhbar Utusan MalaysiaBernama, Harian Metro, Nanyang Siang Pao, Sinar Harian, dan Berita Harian. Portal berita reka cipta Invention News UK yang membuat liputan di BIS tidak ketinggalan menemu ramah projek kami.



Merenung kota London dari jendela semasa penerbangan menaik pulang, rasa mahu menangis meninggalkan tanah penjajah ini yang belum tentu dapat aku kunjung lagi. Jauh perjalanan luas pemandangan. Beberapa iktibar dapat aku raih daripada kota berdatukbandarkan seorang Muslim ini. Yang penting, aku harap projek ini yang berstatus prototaip dapat dikomersialkan seperti projek yang aku sertai sebelum ini.

Setiap kali makan dan minum, pasti kami akan menaiki tren bawah tanah dan turun di stesen ini kerana rata2 restoran di sepanjang jalan ini diyakini halal. Malah, kedutaan Malaysia terletak tidak jauh dari sini.

Bahkan Pro Canselor universiti serta naib menyebut-nyebut kejayaan kami dalam ucapan sewaktu majlis konvokesyen yang diadakan sebulan selepas pulang. Secara tidak langsung membanggakan ibu bapa kami yang berada di dalam majlis.


Puji dan syukur ke hadrat Ilahi. Terima kasih tidak terhingga buat ahli kumpulan yang kompeten merealisasikan target kita, warga pejabat USIM yang jitu mengkehadapankan kumpulan sebelum dan selepas meraih kejayaan ini, keluarga yang memberikan sokongan padu, warga tempat kerja yang senang hati memberi cuti, dan tidak lupa juga kepada delegasi Malaysia yang membantu susun-atur kami sepanjang keberadaan di London. Diharapkan extra-curricular activity resumeku yang paling mahal ini banyak membantuku dalam membina kerjaya pada era Revolusi Industri 4.0.

Putera Wales Putera Charles dan Duchess of Cornwall Camilla Parker Bowles membuat lawatan rasmi bersempena tahun ke-60 hubungan 2 hala Malaysia-United Kingdom pada 2-8 November. Berbalas-balas kunjungan ya kita!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Correct me if I am wrong. Politely please.