Kelakarkah Bermediumkan Bahasa Melayu di Alam Maya?


Dunia hari ini menyaksikan penggunaan bahasa Inggeris semakin meluas di alam maya a.k.a. Internet. Khusus buat pengguna Internet di Malaysia, mereka turut tidak ketinggalan untuk menjadi salah satu masyarakat yang sibuk melayari laman sesawang hinggakan:

·         Malaysia merupakan antara negara yang paling aktif di dunia dalam menggunakan Facebook, Twitter dan beberapa laman sosial lain.

·         Hampir separuh daripada populasi rakyat Malaysia menghabiskan masa dengan melayari Internet selama 20 jam seminggu secara purata.

·         80% rakyat menonton / memuat turun video setiap bulan.

·         Kadar penembusan Internet dalam kalangan rakyat sebanyak 59%.

·         Dengan tanpa hentinya, cybertroopers dari kerajaan mahupun pembangkang saling bertikam hujah di alam maya.

walaupun:

·         Rakyat kurang menikmati kebebasan dalam berinternet.

·         Liputan Internet negara adalah yang terburuk di Asia Tenggara.

·         Negara menduduki tempat ke-5 terkebelakang dalam kelajuan memuat laman sesawang; 14.3 saat.

·         Kadar penembusan jalur lebar isi rumah yang masih tertinggal di belakang Singapura & Hong Kong.

·         Rakyat menikmati kadar pelan Internet yang masih tinggi berbanding rakyat negara-negara lain di Asia Tenggara.
Walaubagaimanapun, bukan data tadi yang hendak ditekankan memandangkan statistik ini boleh berubah dari masa ke semasa. Kembali kepada penggunaan bahasa, dapat kita saksikan pada hari ini bahawa bahasa Inggeris menjadi bahasa perantaraan bagi sebahagian besar rakyat yang beralasankan hendak meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Justeru, alasan ini boleh diterima memandangkan kesukaran untuk berbahasa Inggeris dalam pertuturan seharian. Kendatipun sesetengah laman menyediakan bahasa Melayu Malaysia sebagai bahasa pilihan bagi pelawat mereka, namun bagi orang Melayu sendiri, biasanya mereka tidak memilih bahasa itu.

OK apa tatabahasa dia. Bukan sembarangan bahasa kita ni, kawan.


Penggunaan bahasa Melayu tidak terhad hanya kepada laman sesawang sahaja, bahkan menjangkau kepada perisian serta sistem operasi seperti Windows.

Namun, yang menjadi permasalahan di sini ialah sebahagian orang yang menggunakan bahasa Melayu sebagai pilihan mereka ditetawakan oleh majoriti yang berbahasa Inggeris. Melihatkan perkataan-perkataan seperti 'jeda', 'sedang memuat', 'segar semula', 'paparan', 'cuit', dan sebagainya membuatkan sang majoriti ketawa berdekah-dekah. Persoalannya di sini ialah:

·         Adakah sempurna tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan majoriti ini terutamanya yang berbangsa Melayu sendiri?

·         Adakah pihak majoriti mampu membina ayat dalam bahasa Inggeris berkelas tinggi lantaran bertahun-tahun menggunakan bahasa tersebut?

Sekiranya ‘ya’, sepatutnya kita sudah boleh melihat:

·         Pengajaran dan Pembelajaran Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak menjadi suatu masalah dalam kalangan pelajar hinggakan pihak pembangkang beriya-iya hendak menghapuskannya.

·         Tidak mahir berbahasa Inggeris tidak menjadi alasan dalam kalangan lepasan mahasiswa ketika bertemu duga di syarikat pekerjaan.

·         Tiada kes penggunaan bahasa Melayu singkat dan rojak dalam karangan murid-murid sekolah.

·         Orang Melayu tidak merasa aneh ketika menjumpai perkataan dalam bahasa mereka sendiri.



Bajet gila! Guna jer BI, cakap Melayu gak dengan kawan-kawan.
Sudahlah tidak berbangga dengan bahasa sendiri, akan tetapi kekok pula berbahasa orang. Bahkan, ada hati hendak mentertawakan orang lain yang bermediumkan bahasa ibunda di laman mereka. Harapkan laman saja berbahasa orang puteh, padahal dalam ruang chat, penuh dengan bahasa ibunda yang jahanam ejaannya. Jadi, tidak hairanlah apabila bidang kesusasterasn tidak lagi menjadi keutamaan buat masyarakat hari ini. Remuk-rendam rasa dihati bila bahasa sendiri diperkotak-katikkan oleh bangsa sendiri. Jikalau tidak hendak memelayukan bahasa laman kalian, tidak perlulah kalian menghina sekelompok manusia yang tetap setia memelayukan diri mereka pada zaman atom ini.

Sedarlah dengan bahasa ini, kita mempunyai identiti kita tersendiri yang boleh dibanggakan. Jangan dek mengikut arus globalisasi, sampai suatu masa nanti, Melayu itu hanya tinggal nama sahaja, manakala kesusasteraan ulungnya tinggal dalam lipatan sejarah. Kata Hang Tuah, “Takkan Melayu hilang dari dunia” sememangnya tidak menjamin langsung akan kelangsungan bangsa dan bahasa Melayu kerana Hang Tuah bukan seorang nabi utusan Allah. Contohilah negara Indonesia yang berjaya memartabatkan bahasa rumpun kita melalui semangat pancasila. Dirgahayu bahasaku! Bahasa jiwa bangsa!

Bahasa Melayu menjadi lingua franca (bahasa perantaraan) suatu masa dahulu. Malangnya, selepas Perang Dunia Ke-2 penggunaannya semakin terhakis walaupun Perkara 152 telah memberi peruntukan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.


Memang sudah maklum bahawa orang Melayu begitu kuat berasimilasi. Setoleransi-toleransi Melayu, gagah juga mereka mendaulatkan bahasa mereka buat ribuan tahun lamanya.
Tidak rugi pun berbahasa Melayu di media sosial. Dengan penutur sebanyak 220 juta orang menjadikan bahasa ini ke-5 terbesar di dunia. Dari Alam Melayu di Asia Tenggara hinggalah ke Cape Town, Afrika Selatan, bahkan di kebanyakan negara telah ada pengajian Bahasa Melayu di institusi2 pengajian yang mana mereka yang mempelajarinya sangat berbangga sebangga kita mempelajari bahasa Cina, Tamil, Perancis, Korea, dan Arab. Kalau dahulu moyang kita maju berperantaraankan Melayu sahaja, kenapa tidak kita guna bahasa ini untuk memajukan bangsa kini lantaran Inggeris susah kita kuasai?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Correct me if I am wrong. Politely please.